Kadang-kadang kita terpaksa memandu jarak jauh bersendirian. Keadaan ini selalunya tidak dapat dielakkan tidak kira jika anda seorang wanita berkarier ataupun usahawan MLM. Memandangkan jarak jauh bersendirian sememangnya berisiko tinggi tetapi di sini kami bekalkan beberapa tips yang dapat membantu.

1. JAGA KERETA DAN KERETA AKAN MENJAGA ANDA
Sesebuah kereta yang tidak diselenggara dengan baik akan menyusahkan anda satu hari nanti. Pastikan anda mengikut saranan yang diberikan oleh pengeluar kenderaan terutamanya dalam penyelenggaraan kenderaan.
Pastikan anda mengikuti jadual servis yang ditetapkan. Ini penting bagi memastikan kereta anda tidak rosak di tempat-tempat yang terpencil seorang diri.
2. LAKUKAN PEMERIKSAAN RINGKAS
Gunakan masa yang ada sebelum perjalanan untuk memeriksa POWER kereta anda. Apa benda POWER ni? Ia merupakan singkatan dalam bahasa Inggeris yang merujuk kepada:
- Petrol (Bahan api) – sudahkan anda mempunyai petrol yang secukupnya dan jika tidak, di mana anda merancang untuk mengisi petrol?
- Oil (Minyak enjin) – periksa minyak enjin kereta anda untuk memastikan ia berada dalam keadaan secukupnya, jika kurang maknanya ada kebocoran dan perlu diperbaiki terlebih dahulu.
- Water (Air) – periksa dan tambah air di dalam radiator dan tangki air pengelap cermin jika perlu.
- Electrics (sistem elektrik) – periksa semua lampu, termasuklah yang paling penting iaitu lampu brek dan isyarat membelok (anda perlu meminta bantuan kawan untuk menguji semua lampu di bahagian luar)
- Rubber (Tayar) – pastikan tayar masih dalam keadaan baik dan mempunyai tekanan yang betul. Satu lagi ialah getah pengelap cermin anda, jika sudah terlalu keras tukarkan sahaja. Ia cukup penting terutama pada musim tengkujuh.
Ia mungkin nampak seperti rumit tetapi kesemua langkah di atas sebenarnya tidak memakan masa yang lama.

3. RANCANG PERJALANAN
Untuk perjalanan yang jauh dan berisiko (contohnya tempat-tempat terpencil, tempat yang tidak biasa dikunjungi, ataupun mempunyai cuaca yang tidak menentu), pastikan anda memaklumkan kepada sesiapa laluan yang akan anda ambil. Ini memudahkan mereka mencari anda jika anda keperluan ataupun kecemasan.
4. SENTIASA BERHUBUNG
Sentiasa berhubung dengan keluarga ataupun sahabat anda di satu-satu lokasi dalam perjalanan anda. Maklumkan juga jika anda mengalami kelewatan ataupun mengalami masalah.
Paling penting pastikan bateri telefon dicaj secukupnya. Jika menggunakan iphone yang dibeli menggunakan duit PTPTN dan kad prepaid, top up kredit secukupnya.
5. PANDU DALAM KEADAAN BERJAGA-JAGA
Jika menghampiri keadaan ataupun situasi yang agak merbahaya (peragut biasanya bertindak sewaktu berhenti contohnya ketika lampu isyarat merah), sentiasa rancang laluan untuk memecut lari.
Jangan berada terlalu rapat dengan kenderaan di hadapan. Jika diancam oleh pemandu lain ataupun pembuli jalan raya, gunakan jari anda untuk menulis nombor pendaftaran kenderaan mereka pada cermin tingkap kereta anda.
Anda boleh membacanya kemudian dengan menghembuskan nafas pada bahagian yang anda tulis tadi. Jika ingin bertanyakan sesuatu kepada pejalan kaki, buka tingkap secukupnya sahaja. Jangan buka seluas-luasnya.
6. JIKA KENDERAAN ANDA ROSAK?
Jangan cuba membaiki kerosakan sendirian kerana ini mendedahkan anda kepada bahaya. Buat panggilan untuk bantuan daripada panel bengkel ataupun sesiapa yang anda kenal. Jangan cepat menerima bantuan daripada sesiapa yang tidak dikenali.
Ramai yang jujur tetapi ada juga yang cuba mengambil kesempatan. Tunggu sehingga bantuan yang anda panggil tiba. Sewaktu menunggu ada baiknya anda duduk di tempat penumpang. Ini memberi gambaran yang anda mempunyai teman yang memandu kepada sesiapa yang memerhatikan.
Tetapi jika di lebuh raya jangan menunggu di dalam kenderaan kerana risiko dilanggar kenderaan lain cukup tinggi.

7. PILIH TEMPAT PAKIR YANG SESUAI
Pastikan tempat anda pakir kenderaan anda tidak terlalu tersorok atau sunyi. Pencahayaan juga mesti cukup baik. CCTV merupakan satu bonus. Berhati-hati dengan barangan di dalam kereta anda dan jangan sesekali meninggalkan barangan berharga di dalam kereta.
Pemandu wanita biasanya mempunyai hiasan dengan citarasa wanita, kalau boleh elakkan kerana ini juga menarik perhatian mereka yang tidak sepatutnya. Cuba letak stiker gambar Abdul Rani Kulup misalnya.
8. BERHATI-HATI DENGAN PERSEKITARAN
Sewaktu menghampiri kenderaan anda pastikan kunci sudah berada ditangan. Jangan terhegeh-hegeh mencari kunci sewaktu berada di tepi kereta. Perhatikan juga sesiapa yang ada berdekatan. Perhatikan juga kereta anda sama ada ia dalam keadaan normal.
Jika terasa ada sesuatu yang tidak kena ataupun berasa tidak sedap hati. Segera beredar dan dapatkan bantuan sesiapa yang anda percayai contohnya pegawai polis ataupun pengawal keselamatan.
9. ELAKKAN PROVOKASI
Sikap pemandu biasanya berubah sebaik memegang stereng. Jaga kelakuan di atas jalan raya. Jika ada pemandu yang membuat provokasi, catatkan saja nombor pendaftaran mereka seperti cara di atas dan buat laporan polis.
Jangan membalas balik provokasi mereka kerana ia mungkin menimbulkan masalah. Ingat keselamatan diri lagi penting dari mempertahankan ego.
10. JANGAN PANIK
Serangan ke atas pemandu wanita sebenarnya tidaklah kerap berlaku dan anda tidak perlu paranoid tetapi persediaan yang anda lakukan mampu menyelamatkan dalam keadaan tertentu.
Sumber:
https://www.mekanika.com.my/