Institut Memandu Cemerlang Tawau

Memandu ketika hujan – gandakan fokus, jangan laju!

Nampaknya musim tengkujuh kian ligat melanda negara kita, al-maklum sajalah kalendar bakal berganti ke Tahun Baharu. Sana sini dilaporkan hujan, dan ada sampai yang melibatkan banjir kilat termasuklah ibu kota Kuala Lumpur. Cuma mohon pada Tuhan agar banjir besar seperti yang melanda negara khususnya di Pantai Timur dua tahun yang lalu, tidak berulang.

Dan hujan yang turun juga bagaikan tidak mengenal waktu. Ada masanya seharian bumi Malaysia dibasahi hujan. Adakalanya cuma gerimis dan ketikanya, hujan lebat yang menggila. Lantas, ia sedikit sebanyak pasti akan mengganggu pemanduan. Jalan raya bertambah licin, dan adakalanya air yang melimpah hingga ke jalan (ada yang disebabkan faktor sistem perparitan yang tidak sempurna).

Tidak kira apa jua keadaan jalan, tambah lagi dengan hujan, ia memang mampu mengundang bahaya ketika memandu. Dalam situasi yang tidak terduga atau terjangka, apa pun sila gandakan tahap fokus anda ketika memandu dalam keadaan sebegini.

Kami kongsikan tip pemanduan ketika hujan untuk anda. Jangan sekadar baca, tetapi praktikkan, demi keselamatan anda, penumpang anda dan juga pengguna jalan raya yang lain. Jangan dirasakan, kenderaan anda dilengkapi dengan aspek keselamatan aktif dan pasif, atau kenderaan anda besar, membuatkan keselamatan di dalam pemanduan diabaikan. Atau, usah pentingkan diri sendiri. Adakalanya kerana kelalaian kita, mungkin orang lain yang menjadi mangsa.

Perkara paling utama ialah sebelum memandu ialah pastikan kenderaan anda berada dalam keadaan yang baik.

1) Sila periksa tekanan dan keadaan tayar anda. Tayar harus mempunyai banyak kedalaman bunga untuk aliran air dari antara permukaan jalan dan tayar anda. Jika bunga tayar yang dipakai itu hanya tinggal sekitar 2.5 mm atau 3.0 mm, itu menandakan sudah tiba masanya untuk anda mendapatkan tayar yang baharu.

2) Tekanan angin tayar jika terlalu rendah atau terlalu tinggi juga boleh mengurangkan cengkaman, kehausan bunga atau tayar itu sudah tidak boleh digunakan. Sila periksa tekanan tayar anda sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk memastikan ia berada dalam keadaan yang baik.

3) Pastikan bilah pengelap cermin turut berfungsi dengan baik. Jika ia sukar mengelap cermin dengan baik, pastikan anda menukarkannya.

4) Pastikan lampu kenderaan anda boleh berfungsi dengan baik. Ini kerana, anda perlu memasang lampu utama sewaktu memandu dalam hujan lebat biar pun pada waktu siang hari. Ia sangat perlu, bukan setakat memastikan anda mampu melihat keadaan jalan dengan lebih jelas, sebaliknya ia juga memberikan ‘isyarat’ pada pemandu kenderaan lain yang anda turut berada di jalan yang sama. Bukannya menggunakan hazard light. Untuk pengetahuan anda, kegunaan hazard light adalah menandakan kenderaan sedang berhenti.

Sebenarnya, pastikan kenderaan anda dalam keadaan yang baik setiap masa. Cuma ia perlu dipertingkatkan sekiranya melibatkan perjalanan yang jauh dan juga dalam musim hujan. Bayangkanlah kalau kenderaan anda break-down hujan lebat, faktor kesusahan yang perlu anda tempuh dalam waktu darurat ini pastinya lebih berganda dan menyulitkan.

Berikut merupakan tip pemanduan dalam keadaan jalan raya yang basah dan licin:

1) Paling penting, elak memandu dalam kelajuan yang tinggi. Bila memandu laju di permukaan jalan yang kering pun, ada kemungkinan kenderaan hilang kawalan, apatah lagi sekiranya dalam hujan dan jalan yang licin. Risikonya adalah berlipat kali ganda. Waima besar atau berat mana pun kenderaan anda, perlahankan kenderaan adalah perkara yang sewajarnya. Ingat, bas persiaran yang besar atau pun lori yang berat pun boleh hilang kawalan dan terbalik!

2) Jika cermin kenderaan anda berkabus, gunakan penghawa dingin untuk pengeringan udara di dalam kenderaan anda. Jika sistem penghawa dingin anda bermasalah, turunkan sedikit cermin tingkap sisi untuk membolehkan udara keluar.

3) Jangan lupa untuk memasang lampu utama kenderaan anda, bukannya menggunakan hazard light kerana ia akan mengelirukan pemandu di belakang anda. Dan sekiranya jarak penglihatan menurun kurang dari 100 m, pasang lampu kabus hadapan, dan jika memang diperlukan, lampu kabus belakang juga boleh digunakan, khususnya bagi membantu pemandu kenderaan di belakang anda mengagak jarak antara kenderaan di hadapannya.

Diingatkan, penggunaan lampu kabus hanya diperlukan dalam keadaan di mana jarak penglihatan yang teruk, bukannya sesuka hati menggunakannya kerana ia boleh mengganggu penglihatan pemandu lain. Penggunaan lampu kabus hadapan, pada masa yang memang tidak sesuai, akan mengganggu penglihatan pemandu kenderaan di hadapan kerana silau, begitu juga dengan lampu kabus belakang yang boleh menyilaukan mata pemandu kenderaan di belakang. Sebelum itu, tahukah anda bagaimana hendak mematikan suiz lampu kabus ini? Ini kerana ada pengguna kenderaan yang langsung tidak tahu cara dan fungsi penggunaan lampu kabus ini. Sila rujuk buku panduan manual kenderaan anda atau GOOGLE!

4) Jika melalui jalan yang ada tiga lorong, pastikan anda memilih untuk menggunakan lorong tengah kerana biasanya air akan mudah bertakung di sebelah kiri atau kanan jalan.

5) Pastikan jarak yang selamat di antara kenderaan di hadapan kerana anda memerlukan jarak yang agak panjang ketika membrek dalam keadaan jalan yang basah dan licin. Bukan itu sahaja, jarak kenderaan di hadapan juga membantu menambahkan jarak penglihatan anda.

Anda memerlukan sekurang-kurangnya jarak dalam empat saat di belakang kenderaan di hadapan apabila melalui permukaan jalan yang basah. Ini kerana, sekiranya kenderaan di hadapan tiba-tiba brek atau mungkin sudah terlanggar kenderaan di hadapannya, anda punya masa untuk menghentikan kenderaan anda, atau sekurang-kurangnya dapat bertindak sewajarnya untuk mengelak daripada terlanggarnya.

Bagimana hendak menentukan jarak empat saat itu? Cuba perhatian kenderaan di hadapan yang melintasi lampu jalan, atau tanda jalan. Kemudian kira, berapa saat yang anda perlukan untuk melintasi objek yang sama. Jika kiraan anda kurang daripada empat saat, ini bermakna anda perlu memperlahankan kenderaan anda dan memberikannya ruang jarak dengan kenderaan di hadapan.

6) Jika anda dapati kenderaan di belakang mengekori anda dengan jarak yang terlalu dekat, mengalahlah dan berikannya laluan. Jangan pula anda menambah kelajuan atau memandu lebih perlahan untuk membangkitkan kemarahannya pula.

7) Jangan mengekori kenderaan yang lebih besar seperti bas atau pun lori terlalu dekat. Ini kerana percikan air dari tayar belakang kenderaan terbabit boleh tambah menjejaskan jarak penglihatan anda.

8) Perubahan laluan mendadak boleh membuatkan stereng hilang kawalan terutamanya di jalan raya yang licin. Jadi kawal stereng anda sebaik mungkin bagi mengelakkan perkara ini berlaku.

9) Jika hujan terlalu lebat dan anda tidak selesa dengan jarak penglihatan, disarankan agar anda berhentikan kenderaan di tempat yang selamat. Seelok-eloknya berhenti di kawasan rehat & rawat atau pun stesen minyak. Hujan yang lebat boleh menyulitkan pemanduan. Malah bilah pengelap cermin adakalanya gagal untuk berfungsi dengan baik bagi meningkatkan jarak penglihatan anda.

10) Hujan akan membuatkan jalan raya menjadi licin, apatah lagi dengan kehadiran lumpur dan minyak sedia ada pada jalan yang kering, bila bercampur dengan air hujan, kelicinan itu akan bertambah. Ini boleh membuatkan kenderaan hilang kawalan jika kurang fokus dan memandu dalam keadaan laju, terutamanya setengah jam pertama selepas hujan turun.

11) Pernahkan anda mendengar terma ‘aquaplaning’? Atau kalau ikut kamus Dewan Bahasa & Pustaka membawa maksud ‘penyatahan air’. Ia terjadi apabila tayar kenderaan anda merentasi permukaan jalan yang banyak air. Hasilnya, air bertakung di bawah tayar, dan apabila tayar hilang ‘hubungan’ dengan permukaan jalan, maka ia akan membawa kesan umpama ‘terapung’ dan boleh menyebabkan tayar kurang atau hilang cengkaman.

Anda boleh merasai aquaplaning ini apabila kawalan stereng terasa ringan dan tiada respons, dan boleh mendengar percikan air di bahagian gerbang roda. Sekiranya ini berlaku, elak dari membrek kerana ia boleh membuatkan kenderaan tergelincir atau pun terus hilang kawalan.

Jadi, apa yang perlu anda lakukan ialah jangan cepat panik dan bertenang. Lepaskan kaki adan dari pedal pendikit dan biar kenderaan diperlahankan sendiri tetapi jangan lepaskan tangan daripada roda setereng. Bersedia untuk mengawal stereng sebaik mungkin. Apabila tayar mula terasa ada ‘hubungan’ kembali dengan jalan, dan kenderaan sudah mula stabil, barulah tekan pedal pendikit semula dan brek sekiranya perlu.

12) Jangan sesekali ‘berani’ meredah air yang bertakung atau banjir sekiranya anda tidak dapat mengagak kedalamannya. Walau pun mungkin ada kenderaan di hadapan selamba sahaja merentasinya, dan anda pula mengekori dari belakang. Dan kemudian tiba-tiba kenderaan tersebut terhenti, dan ini mendorong anda untuk berhenti sama. Akibatnya, kenderaan anda juga boleh berisiko mengalami kerosakan apabila mungkin air termasuk ke dalam corong ekzos atau pun enjin. Hendak membaiki kenderaan yang terlibat dengan banjir ini memang memerlukan kos yang (sangat) tinggi.

13) Selepas menempuhi jalan yang licin dan basah ini, cuba brek kenderaan anda dengan perlahan untuk memastikan kompenen tersebut kering. Tapi pastikan ia dilakukan di kawasan yang selamat, jangan pula suka hati main brek, sampai mengganggu pemanduan kenderaan di belakang.

14) Jika kenderaan anda ada teknologi cruise control atau kawalan kelajuan, elak menggunakannya dalam keadaan jalan raya yang basah kerana ia boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan.

15) Segala aspek keselamatan pasif mahupun aktif, termasuk dengan adanya teknologi seperti ABS dengan EBD, kawalan kestabilan kenderaan, kawalan cengkaman dan sebagainya pada kenderaan anda, jika anda sering mengamalkan pemanduan yang agresif termasuk memandu laju, ia memang boleh mengundang padah kerana dengan cuaca buruk sebegini, kita tidak dapat menduga bahana apakah yang menanti di hadapan sana. Mungkin juga kenderaan boleh hilang kawalan akibat jalan raya yang licin, dan ini memang boleh mengancam nyawa anda, penumpang dan juga pengguna jalan raya yang lain.

Apa pun, sentiasa amalkan pemanduan berhemah dan berhati-hati tidak kira waktu mahu pun keadaan jalan. Sentiasa ingatlah kata-kata yang acapkali dilaungkan dalam kempen pemanduan berhemah iaitu ‘Pandu cermat, jiwa selamat. Ingatlah insan yang tersayang.’

Sumber: paultan.org/

Call Now Button